Pages

Sunday, July 21, 2013

Tiada sebab tukar kerajaan BN

MUKHRIZ Mahathir berucap dalam majlis penyampaian zakat untuk penduduk miskin di Kampung Ayer Terjun, Kuala Besut, semalam. 
*****
BESUT 19 Julai - Tidak ada keperluan untuk rakyat negeri ini, khususnya di Kuala Besut menukar kerajaan Barisan Nasional (BN) yang telah mentadbir negeri dan merencanakan aspek kebajikan rakyatnya dengan baik.
Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, kerajaan yang ada hari ini mempunyai wawasan dan mengamalkan pendekatan luar kotak sehingga meletakkan pencapaian negeri itu dalam pelbagai bidang, khususnya pendidikan mengatasi negeri lain.
Beliau berkata, justeru itu, Kedah yang dipimpinnya kini turut mempelajari pengalaman dan pendekatan Terengganu dalam pentadbiran terutama dalam usaha melahirkan generasi Ulul Albab.
"Kami dari Kedah datang ke sini untuk membalas budi Terengganu, khususnya Besut. Kita banyak belajar daripada Terengganu melalui program Ulul Albab, kita lihat banyak sekolah yang menggunakan program ini dan prestasi mereka meningkat dengan ketara, Kedah akan mencontohinya.
"Kalau sudah ada yang baik-baik di Terengganu sehingga kami dari Kedah dan negeri lain datang ke Terengganu, maka tidak ada keperluan untuk menukar kerajaan BN yang progresif dan berwawasan ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan zakat kepada penduduk miskin di Kampung Ayer Terjun, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan Negeri Kedah, Datuk Mohd. Tajudin Abdullah.
Mukhriz turut mengakui pihaknya belajar daripada UMNO Terengganu untuk mengambil semula negeri itu daripada pentadbiran Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu.
"Banyak perkara baik yang kami belajar daripada Terengganu, kami amat berharap rakyat negeri ini tidak menolak kerajaan yang ada sekarang," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, gandingan pemimpin muda dan lama dalam pentadbiran adalah amat baik kerana saling lengkap-melengkapi.
Katanya, dalam sebuah pentadbiran, peredaran zaman memerlukan idea segar daripada orang muda tetapi pengalaman yang dimiliki oleh generasi terdahulu amat diperlukan bagi membentuk gandingan mantap.
"Saya difahamkan di Kuala Besut mempunyai kira-kira 54 peratus pengundi muda. Pemilihan calon yang muda dalam pilihan raya kecil ini amat baik untuk menggandingkan dengan generasi lama.
"Di Kuala Besut ada ramai orang muda sudah tentu mahukan aspirasi mereka dilaksana demi masa depan, jadi saya orang seperti (calon BN, Tengku Zaihan Che Ku Ab. Rahman) ini wajar diberi mandat untuk terus menjadi wakil rakyat," katanya.

No comments: