Pages

Tuesday, July 23, 2013

PRK Kuala Besut: Proses membuang undi bermula

JERTIH: Penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut mula menunaikan tanggungjawab mereka bagi memilih Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang baru.

Walaupun cuaca agak mendung, secara keseluruhan waktu pagi di Kuala Besut tetap indah.
Selepas panas berkempen selama dua minggu, pengundi bersedia untuk membuang undi seawal jam 8 pagi.

Jabatan Meteorologi meramalkan cuaca agak baik pada hari ini bagi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut.

Cuaca dijangka mendung pada sebelah pagi dan cerah pada waktu petang dengan suhu tertinggi dijangka 32 darjah Celsius.

Berdasarkan maklumat terkini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), seramai 16,534 pengundi di Kuala Besut termasuk 55 peratus adalah pengundi muda.

Sabtu lalu, seramai 1,148 pengundi terdiri daripada anggota tentera udara, pegawai dan isteri mereka, turut membuang undi pada 20 Julai lalu di Pangkalan Udara Gong Kedak. Peratus keluar mengundi ketika itu ialah 80 peratus.
SPR menjangkakan peratus keluar mengundi hari ini ialah lebih 75 peratus.

Lapan pusat mengundi yang disediakan ialah Sekolah Kebangsaan Kuala Besut, Sekolah Kebangsaan Kampung Nail, Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Besut, Sekolah Kebangsaan Alor Peroi, Sekolah Kebangsaan Kampung Nangka, Sekolah Kebangsaan Kampung Baharu, Sekolah Kebangsaan Bukit Puteri dan Sekolah Kebangsaan Pulau Perhentian.

Kesemua pusat mengundi dibuka dari jam 8 pagi hingga 5 petang kecuali di Sekolah Kebangsaan Pulau Perhentian ditutup pada jam 3 petang.

Pada PRK ini, calon Barisan Nasional, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman, bekas jurutera awam Jabatan Pengairan dan Saliran akan membuang undi di Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Besut manakala pencabarnya, Endot @ Azlan Yusof dari Pas, lebih mesra dengan panggilan Che Long akan membuag undi di Sekolah Kebangsaan Kampung Baharu.

PRK terbabit perlu dilaksanakan berikutan kematian Ahli Dewam Undangan Negeri, Dr A.Rahman Mokhtar mewakili BN akibat paru-paru berair pada 26 Jun lalu.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/PRKKualaBesut_Prosesmembuangundibermula/pilihanraya/kualabesut/Article/index_html | 24

No comments: