Pages

Tuesday, July 23, 2013

Calon PRK Kuala Besut dekati pengundi sehingga ke saat-saat akhir

KUALA BESUT: Calon Barisan Nasional (BN) dan PAS memanfaatkan saat-saat penghunjung berkempen untuk membuat 'sentuhan akhir' kepada para pemilih sebelum hari pengundian pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, esok.

Calon BN Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman berkata waktu terakhir berkempen amat berharga untuknya dan jentera parti.
"Kami gunakan masa yang ada pusing habis-habisan," katanya ketika ditemui semasa mengadakan tinjauan mesra di Kampung Baharu di sini hari ini.

Sejak hari penamaan calon pada 12 Julai lalu, calon BN itu menghadiri tidak kurang 10 acara sehari untuk bertemu pelbagai lapisan masyarakat dan pengundi Kuala Besut.

Bermula seawal 8 pagi, Tengku Zaihan akan menghadiri setiap majlis yang diatur petugas parti untuk bertemu pengundi dan keadaan itu kadang-kadang akan berlarutan sehingga pukul 3.30 pagi keesokannya.

Dengan tidur hanya tiga hingga empat jam sehari, calon BN itu turut ditemu ramah media lebih daripada lima kali sehari.

Meskipun mengakui kepenatan mengharungi kempen selepas 11 hari, namun pengalamannya sebagai jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang perlu banyak berhadapan dengan masyarakat sebelum ini banyak membantunya dalam kempen.

"Letih memang letih tapi tugas saya dalam jabatan ini tidak lari jauh macam sekarang (berkempen), cuma saya banyakkan mengambil vitamin dan pemakanan tambahan untuk meningkatkan tenaga," katanya.

Tengku Zaihan berkata rata-rata penduduk Kuala Besut yang ditemuinya memberikan maklum balas dan aduan yang membina terutama dalam membangunkan kawasan itu.
 
"Rintihan dan permasalahan penduduk Kuala Besut akan saya jadikan rekod dan rujukan," katanya.
Sementara itu, 
 
Pengurus Kempen bagi PRK DUN Kuala Besut dan jurucakap calon PAS, Hanafiah Mat berkata calon parti itu Endot@Azlan Yusof tidak alah kepada dugaan dan terus berkempen kepada semua pengundi.

"Dia kini teruskan bertemu pengundi di sini serta Pulau Perhentian sehinggalah tempoh kempen tamat malam ini," kata Hanafiah yang ditemui di markas PAS di Kampung Baharu di sini.

Azlan yang juga dikenali sebagai 'Che Long' dilaporkan disekat daripada memberi kenyataan secara spontan kepada media berikutan kenyataan kontroversinya yang mengikrarkan beberapa perkara, yang dimuat naik di laman YouTube.

PRK DUN Kuala Besut itu diadakan selepas kematian penyandangnya Dr A. Rahman Mokhtar dari BN pada 26 Jun lalu akibat kanser paru-paru. - BERNAMA 
 
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/CalonPRKKualaBesutdekatipengundisehinggakesaat-saatakhir/Article/?bh | 22JUL

No comments: