Pages

Sunday, July 21, 2013

Kerajaan sedang laksana program pemutihan nelayan

JERTIH: Kerajaan sedang melaksanakan program pemutihan membabitkan nelayan bagi memastikan bantuan dan insentif yang diberikan sampai dan dimanfaatkan kumpulan sasar iaitu golongan terbabit.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata program pemutihan itu penting bagi menyemak satu persatu butiran nelayan dan memastikan mereka yang layak saja menerima bantuan sara hidup dan pembelian diesel murah untuk kegiatan menangkap ikan.
Beliau berkata, program pemutihan terbabit akan bermula di Bachok dan diikuti negari lain.

"Bukan kerana tak percaya kepada nelayan tapi ada yang nakal-nakal. Ada yang mendaftar tak ada bot pun.

"Pada pusingan pertama program pemutihan itu tak berapa cekap dan lengkap. Selepas diaudit kita lihat ada beberapa kelemahan dari apa yang kita buat, " katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan bantuan pada Program Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani di Pulau Perhentian, sebentar tadi.

Hadir sama EXCO Pertanian negeri, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Perusahaan, Perladangan dan Komoditi Terengganu, Nawi Mohamad,

Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Datuk Mohad Khazin Hamzah dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Hashim Abdullah.
Pada majlis terbabit, Ismail Sabri menyerahkan elaun sara hidup kepada tujuh nelayan, bantuan pelajaran anak nelayan (30 orang), bantuan `touch point' seramai 200 orang dan melantik wakil TEKUN di Pulau Perhentian.

Ismail Sabri diminta mengulas akhbar tempatan hari ini berkaitan lebih 100 nelayan pantai di Bachok yang sebelum ini menerima elaun sara hidup sebanyak RM200 sebulan, mendakwa tidak menerima pembayaran sejak dua bulan lalu.

Katanya, nelayan terbabit sudah mengemukakan rayuan kepada pihaknya dan akan mengkaji hujan mereka berkaitan bukti pendaratan ikan dan pembelian diesel subsidi.

Beliau berkata, pihaknya memberikan elaun sara hidup untuk membantu nelayan dan golongan itu perlu membuktikan diri mereka nelayan.

"Pertama, mereka mesti mendaratkan ikan dan mesti ke laut dan jika ke laut mereka ada satu lagi insentif iaitu pembelian diesel subsidi.

"Jika mereka ada bukti membeli diesel secara berterusan dan mendarat ikan dalam tempoh enam bulan, barulah dianggap nelayan sebenar dan layak mendapat elaun sara hidup nelayan, katanya.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Kerajaansedanglaksanaprogrampemutihannelayan/pilihanraya/kualabesut/Article/index_html | 21JUL

No comments: