Pages

Saturday, July 20, 2013

PRK Kuala Besut: Rakyat perlu imbau dosa PAS

JERTIH: Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mengajak rakyat di Kuala Besut mengimbau kembali dosa yang pernah dilakukan PAS ketika memerintah Terengganu.

Beliau berkata, mereka perlu menjadikan tindakan mengusir kanak-kanak tadika dari sekolah sebagai iktibar selepas pemimpin tertinggi PAS mengakui kesilapan dan kezaliman yang mereka lakukan di Terengganu ketika memerintah pada 1999 hingga 2004.
"Saya tak nak cakap pasal pembangunan sebab PAS memang tak berminat dengan perkara itu, tapi rakyat perlu ingat bagaimana zalimnya mereka apabila menghambat keluar kanak-kanak tadika keluar dari sekolah masing-masing.


"Bukan 10 orang tapi beratus-ratus dan bagi saya ini adalah dosa yang pernah PAS lakukan ketika mereka memerintah Terengganu. Mereka langsung tak mahu meminta maaf kepada rakyat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pelancaran Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2013 Ramadan peringkat negeri Terengganu di sini, hari ini.

Katanya, PAS seharusnya mengakui kesilapan dan memohon maaf kepada rakyat Terengganu terlebih dahulu sebelum berhasrat mahu merampas semula pemerintahan negeri ini daripada Barisan Nasional (BN).

Sementara itu, Ahmad Shabery yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, pihaknya belum menerima laporan mengenai penyalahgunaan media sosial secara melampau dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut.

"Pelbagai kaedah digunakan untuk berkempen. Memuji dan memperlekehkan orang adalah lazim dalam laman sosial, tapi laporan mengenai penyalahgunaan secara melampau masih belum diterima setakat ini," katanya.
Mengulas mengenai kes penghinaan agama Islam yang dilakukan pasangan Alvin Tan Jye Yee dan Vivian Lee May Ling, Ahmad Shabery berkata, beliau menyerahkan perkara itu kepada badan kehakiman negara bagi menentukan hukuman yang setimpal terhadap mereka berdua.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/PRKKualaBesut_RakyatperluimbaudosaPAS/Article/?bh | 20JUL

No comments: