Pages

Thursday, July 25, 2013

Kemenangan BN di Kuala Besut bukti UMNO masih menyerlah: Najib

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak berkata kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut hari ini membuktikan kekuatan UMNO masih menyerlah.

Perdana Menteri berkata, usaha untuk memperkukuhkan UMNO akan terus diperkasa supaya mampu menambah keyakinan rakyat terhadap BN.

"Alhamdulillah..BN telah menang di Kuala Besut dan terima kasih kepada semua pengundi di Kuala Besut yang telah menyokong BN.

"Insya Allah kita akan tunaikan semua janji pilihan raya kita ," katanya selepas majlis berbuka puasa Perdana Menteri dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor bersama sahabat, ketua bahagian, Puteri, Pemuda dan Wanita UMNO di Seri Perdana di sini.

Najib berkata demikian ketika mengulas kemenangan calon BN, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman dengan majoriti 2,592 undi ke atas calon PAS, Endot @ Azlan Yusof pada PRK Kuala Besut.

Beliau melahirkan keyakinan dengan kredibiliti Tengku Zaihan, 37, untuk terus berkhidmat kepada masyarakat setempat.

"Saya yakin beliau tokoh muda yang berkebolehan. Ini petanda baik sokongan rakyat terhadap BN.
"Pertambahan majoriti kemenangan menunjukkan prestasi yang menggalakkan dan semoga ianya dapat memberikan semangat yang lebih kepada semua ahli BN untuk menambah sumbangan dan daya juang," katanya. - BERNAMA

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/KemenanganBNdiKualaBesutbuktiUMNOmasihmenyerlah_Najib/pilihanraya/kualabesut/Article/index_html | 25JUL

No comments: