Pages

Tuesday, July 16, 2013

Muhyiddin umum projek dalamkan Sungai Besut RM250 juta

JERTIH: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebentar tadi mengumumkan peruntukan RM250 juta bagi melaksanakan projek mendalamkan muara Sungai Besut yang cetek.

Beliau berkata, projek mendalamkan muara sungai itu dijangka bermula pada awal tahun depan selepas laporan kajian selama enam bulan dibentangkan.
Katanya, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri akan mengeluarkan peruntukan sebanyak RM500,000 bagi melantik perunding menjalankan kajian berkenaan.

"Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersetuju projek mendalamkan muara Sungai Besut dijalankan. Perkara ini sudah dikemukakan sekian lama.

"Projek ini akan memudahkan nelayan dan pelancong kerana Menteri Besar sudah memaklumkan bahawa projek secara ad hoc membabitkan RM10 juta hingga RM20 juta tidak bertahan lama dan perlu dibuat secara jangka panjang," katanya.

Ditanya mengenai tohmahan terhadap peribadi calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, Muhyiddin berkata, terbukti Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman adalah anak tempatan dan latar belakang keluarga yang baik.

"Dalam bulan Ramadan kita mengelak buat kenyataan yang tak betul apatah lagi buat tohmahan," katanya.
Timbalan Perdana Menteri percaya pengundi tidak akan terpengaruh dengan helah pembangkang ketika berkempen.

"Adalah lebih baik kita mengemukakan pelan pembangunan sekiranya dipilih sebagai wakil rakyat di sini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan pecah tanah pembinaan Sekolah Menengah Alor Peroi, Kuala Besut.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/MuhyiddinumumprojekdalamkanSungaiBesutRM250juta/pilihanraya/kualabesut/Article/index_html 

No comments: