Pages

Thursday, July 25, 2013

Tambah majoriti

Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman dijulang oleh penyokong BN selepas diisytiharkan memenangi Pilihan Raya Kecil DUN Kuala Besut menewaskan calon Pas, Endot @ Azlan Yusof di Pusat Penjumlahan Undi di Dewan Majlis Daerah Besut, Terengganu, malam tadi. 
*****
BESUT 24 Julai - Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut yang dikuasai berterusan sejak 2004, setelah memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) yang berlangsung hari ini.
Keputusan yang sekali lagi dibuat oleh pengundi di Kuala Besut, di kawasan majoriti Melayu itu memberikan makna yang sangat besar bagi BN untuk kembali menstabilkan pemerintahan negeri dengan kelebihan dua kerusi DUN (17:15).
Ini bermakna menutup peluang Pas yang mengharapkan pengundi di sini memenangkannya untuk mencipta sejarah menjadikan DUN tergantung apabila jumlah kerusi dapat disamakan melalui kempen 16:16 dan memaksa pilihan raya negeri diadakan.
Calon BN, seorang profesional muda, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman,37, memperoleh 8,288 undi manakala pencabarnya, seorang kontraktor, Endot@ Azlan Yusof,48, atau lebih dikenali dengan Che Long memperoleh 5,696 undi yang menyaksi peningkatan majoriti daripada 2,343 kepada 2,592 manakala 125 undi rosak.
Apa yang lebih menarik BN memenangi di semua pusat daerah mengundi termasuk di Kampung Nangka dan Bukit Puteri yang tewas sebelum ini.
Dengan slogan Kuala Besut Bertambah Biru, BN mencatat sedikit pertambahan dari segi majoriti yang dikaitkan dengan penurunan peratus keluar mengundi daripada 87 peratus dalam pilihan raya umum (PRU) lalu kepada 80 peratus.
Pengumuman dibuat oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, A. Rahim Jusoh, di pusat penjumlahan rasmi di Dewan Majlis Daerah, Gong Gemuntong Jertih kira-kira pukul 10 malam ini.
Yang turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Pengarah PRK; Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dan Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh yang juga Timbalan Pengarah PRK.
Yang turut sama Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Tengku Adnan Mansor; Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan dan Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Jalil di samping Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohamad Yusof.
Sebanyak 16,534 pengundi termasuk 55 peratus daripadanya merupakan pengundi muda menunaikan tanggungjawab hari ini manakala Sabtu lalu, 1,148 orang terdiri daripada anggota tentera udara dan isteri mereka telah mengundi.
Namun, setelah kesemua pusat pengundi ditutup pukul 5 petang menyaksikan 13,188 pengundi atau mencecah 80 peratus keluar mengundi seperti yang dijangkakan oleh SPR.
PRK diadakan berikutan kematian Dr. A Rahman Mokhtar yang mewakili BN pada 26 Jun lalu dan semasa PRU lalu, Allahyarham mempertahankan kerusi yang disandangnya sejak 2008 dengan majoriti 2,434 undi mengatasi calon Pas, Napisah Ismail.
Allahyarham yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Kesihatan, Wanita dan Masyarakat negeri memperoleh 8,809 undi manakala pencabarnya 6,375 undi, 144 undi rosak.
Lapan pusat mengundi yang disediakan dan dibuka dari pukul 8 pagi hingga 5 petang kecuali di SK Pulau Perhentian yang ditutup pada pukul 3 petang.
Melalui PRK ini juga, SPR memperkenalkan kaedah mencelup jari ke dalam dakwat kekal, tidak lagi calitan di kuku seperti dalam PRU lalu bagi mengelakkan kontroversi berpanjangan.
PRK pernah diadakan di Kuala Besut 34 tahun lalu, juga dalam bulan Ramadan dan dimenangi calon BN.

Tengku Zaihan dijulang

TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama calon Barisan Nasional, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman meraikan kejayaan selepas diumumkan memenangi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Kuala Besut di Dewan Majlis Daerah Besut, Jertih, malam ini. - Foto Rosdan Wahid  |

TIMBALAN Perdana Menteri meraikan kemenangan calon Barisan Nasional

TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meraikan kemenangan calon Barisan Nasional, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman (dua dari kiri) pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Kuala Besut menewaskan calon PAS, Endot @ Azlan Yusof dengan majoriti 2,592 yang diumumkan di Dewan Majlis Daerah Besut, Jertih, malam ini. - Foto Aswadi Alias |

Diumumkan memenangi Pilihan Raya Kecil

CALON Barisan Nasional (BN), Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman (kiri) mengangkat tangan selepas diumumkan memenangi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Kuala Besut oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya N.01 Kuala Besut, A Rahim Jusoh di Dewan Majlis Daerah Besut, Jertih, malam ini. - Foto Khairull Azry Bidin |

PRK Kuala Besut: Kemenangan BN kekalkan kedudukan 17-15 di Terengganu

KUALA BESUT: Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut apabila calonnya, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman menang dengan majoriti 2,592 undi mengalahkan calon PAS, Endot @ Azlan Yusof pada pilihan raya kecil (PRK), hari ini.

Dengan kemenangan itu BN mengukuhkan kembali kedudukannya di Terengganu dengan majoriti mudah 17-15 sebagaimana yang dimenangai pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) 5 Mei lalu, sekali gus menafikan hasrat PAS untuk mencipta sejarah kedudukan 16-16 kerusi DUN di negeri itu.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya untuk PRK DUN Kuala Besut, A Rahim Jusoh ketika mengumumkan keputusan rasmi itu berkata, daripada 14,108 atau 80 peratus yang keluar mengundi, sebanyak 8,288 undi diberikan kepada BN dan 5,696 undi kepada PAS manakala undi rosak 125 undi.

Katanya, untuk PRK kali ini 13,188 adalah pengundi biasa, 911 (pengundi awal) manakala sembilan orang lagi adalah pengundi pos.

Kemenangan BN itu sekali lagi mengulangi sejarah 34 tahun lalu apabila BN menewaskan PAS pada PRK yang turut berlangsung pada bulan Ramadan itu. - BERNAMA

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/PRKKualaBesut_KemenanganBNkekalkankedudukan17-15diTerengganu/pilihanraya/kualabesut/Article/index_html | 25JUL

PRK Kuala Besut: Kemenangan BN hadiah hari lahir paling bermakna buat PM

JERTIH: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kemenangan calon Barisan Nasional (BN), Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman pada Pilihan Raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut sebentar tadi adalah hadiah hari lahir paling bermakna buat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Timbalan Perdana Menteri berkata, sokongan padu daripada Perdana Menteri selaku Presiden UMNO ternyata menjadi pencetus kepada kemenangan calon BN terbabit.

"Lebih bermakna, kemenangan dicapai menerusi calon BN yang menang hampir di semua Pusat Daerah Mengundi (PDM) termasuk dua yang kalah pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) iaitu Bukit Puteri dan Kampung Nangka.

"Pengundi memberi kepercayaan kepada Tengku Zaihan untuk menjadi wakil rakyat
dan daripada angka yang diberikan tadi.

"Walaupun peratusan keluar mengundi agak menurun iaitu 80 peratus berbanding 87 peratus pada PRU-13. Namun begitu kita masih dapat meraih majoriti lebih besar dengan 2,592 undi," katanya.

BN meraih majoriti sebanyak 2,434 bagi kerusi DUN Kuala Besut pada PRU13.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/PRKKualaBesut_KemenanganBNhadiahharilahirpalingbermaknabuatPM/pilihanraya/kualabesut/Article/index_html | 25JUL

PRK Kuala Besut: Terima kasih kepada semua - Tengku Zaihan

JERTIH: Calon Barisan Nasional, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman mengucapkan terima kasih kepada semua jentera BN dan UMNO yang mencetuskan kemenangan buat dirinya.

"UMNO terutamanya baik di peringkat bahagian, negeri dan Pusat bekerja keras untuk memastikan kemenangan berpihak kepada BN.
"Saya juga ingin merakamkan kemenangan kepada pengundi kerana memberi kepercayaan kepada saya.

"Saya akan memberikan komitmen sepenuhnya untuk menjalankan tugas sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)," katanya pada sidang media selepas pengumuman keputusan Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Kuala Besut.

 http://www.bharian.com.my/bharian/articles/PRKKualaBesut_Terimakasihkepadasemua-TengkuZaihan/pilihanraya/kualabesut/Article/index_html | 25JUL