Pages

Saturday, July 20, 2013

PRK Kuala Besut: Zaihan ada pasukan kuat yakinkan pengundi

JERTIH: Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman mempunyai pasukan yang kuat untuk meyakinkan pengundi supaya mengekalkan kerusi kawasan terbabit dalam genggaman BN.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, Tengku Zaihan mendapat sokongan padu daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, Ahli Parlimen Besut, Datuk Seri Idris Jusoh, beliau sendiri dan pemimpin daripada semua sayap UMNO.
"Pasukan yang kuat ini dapat memberi kembali pembangunan kepada rakyat banding dengan pasukan Che Long saya tak tahu siapa yang bantu rakyat daripada pihak sana.

"Ini fakta yang benar dan perlu diuar-uarkan kepada pengundi, jangan tersilap pilih. Kalau pilih tentu sekali dari pasukan yang kuat," katanya kepada BH Online ketika melawat Pasar Borong Kuala Besut, di sini, sebentar tadi.

Ditanya mengenai bacaan sikap pengundi di Kuala Besut, Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata, berdasarkan pengalaman lalu, jika seseorang tidak suka maka nampak gerak tubuh mereka tetapi sepanjang pertemuan dengan pengundi didapati penerimaan amat baik.

"Kehadiran kita daripada situ kita tahu sama ada mereka terbuka untuk menyokong kita. Ketika memberi risalah orang tidak ambil, kita tahu mereka tidak suka. Tapi tak ada satu risalah pun yang kita bagi mereka tidak ambil sama ada Suara Besut yang kita edar dan saya bagi sendiri.

"Begitu juga ketika mereka hadir pada majlis anjuran kita seperti berbuka puasa, tarawih dan program rasmi, nampaknya sambutan amat positif dan menunjukkan pengundi di Kuala Besut sudah matang," katanya.

Sementara itu, Ahmad berkata, gerak kerja berkempen menjelang hari-hari terakhir sebelum membuang undi akan diteruskan dan mempergiatkan
kunjungan dari rumah ke rumah dan bertemu seberapa ramai pengundi.

"Kepada pengundi yang di luar Kuala Besut yang ingin mengundi kita, kembalilah. Yang nak mengundi kita boleh balik dari Kuala Lumpur pada malam
Selasa selepas berbuka dan kira-kira jam 1 pagi tiba terus sahur bersama keluarga, paginya terus mengundi dan terus balik," katanya.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/PRKKualaBesut_Zaihanadapasukankuatyakinkanpengundi/pilihanraya/kualabesut/Article/index_html | 21JUL

No comments: