Pages

Wednesday, July 17, 2013

Calon Barisan Nasional ada kelebihan

Dr. Zambry Abd. Kadir melawat warga emas, Che Safiyah Mahmud sambil diperhatikan oleh cucunya Wan Atiqah Wan Fendi (kanan) di kampung Lampu Kuala Besut, semalam. 
*****
BESUT 15 Julai - Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir yakin pemilihan Tengku Zaihan Che Ku Abd. Rahman sebagai calon yang boleh membantu memberikan kemenangan besar kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut.
Katanya, perwatakan dan peribadi calon itu dan latar kehidupannya serta keluarga boleh menjadi sandaran yang memaksa Pas berhempas pulas untuk memperkecilkan calon muda itu di hadapan umum.
Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak berkata, Tengku Zaihan dilihat boleh mendampingi rakyat dan pengundi di Kuala Besut dengan baik dan selesa, apatah lagi kalangan muda.
"Saya berharap calon BN dengan wataknya, caranya dan senyumannya dapat memudahkan beliau mendekati pengundi di sini," katanya ketika ditemui ketika meninjau kehidupan beberapa keluarga di Kampung Lampu di sini petang ini.
Pas cuba menimbulkan kesangsian bahawa Tengku Zaihan bukan dilahirkan di sini dan mendakwa sudah terdapat kelompok mereka yang mempunyai pertalian keluarga dengannya memberikan sokongan senyap untuk menumbangkan BN.
Menurut Zambry, UMNO Perak diberi tanggungjawab untuk menjaga pusat daerah mengundi (PDM) Kampung Nangka yang mengandungi tiga cawangan termasuk Kampung Lampu.
''Kita akan mengambil pendekatan dengan bertemu penduduk di Kampung Lampu bagi memungkinkan kemenangan lebih besar berpihak kepada calon BN setelah penduduk di Kuala Besut mengekalkan kerusi BN dalam pilihan raya umum lalu," katanya.

No comments: