BESUT 9 Julai - Calon Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Kecil 
(PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut berazam berkhidmat penuh 
dedikasi dan meneruskan khidmat bakti Allahyarham Dr. A. Rahman Mokhtar 
sekiranya diberikan mandat oleh penduduk Kuala Besut.
"Walaupun nama saya bermula dengan Tengku, saya pun orang biasa 
juga... saya sudah biasa bersama penduduk di Kuala Besut," kata Tengku 
Zaihan Che Ku Abdul Rahman kepada pemberita selepas diumumkan sebagai 
calon BN, di sini hari ini.
Selepas lebih lima tahun berkhidmat di Kuala Besut sebagai jurutera 
Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Besut dan kemudian 10 tahun 
di JPS Putrajaya, katanya, beliau sudah biasa berhadapan dengan 
masyarakat khasnya penduduk kampung di Kuala Besut.
Sambil mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri 
Najib Tun Razak yang memilih beliau sebagai calon BN, beliau menyifatkan
 pilihan raya kecil itu sebagai 'pilihan raya kecil yang besar'. 
"Setinggi-tinggi penghargaan kepada jentera dan penyokong BN kerana 
memberi sokongan kepada saya (dipilih menjadi calon) demi rakyat Kuala 
Besut," katanya.
Tengku Zaihan, 37, anak kelahiran Kampung Nail, Kuala Besut dan 
anggota UMNO Cawangan Seri Seratus diumumkan sebagai calon BN oleh 
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Pengarah PRK 
Kuala Besut di hadapan kira-kira 5,000 anggota jentera BN bagi pilihan 
raya kecil itu di Dataran Kuala Besut.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 24 Julai ini sebagai tarikh
 mengundi untuk PRK Kuala Besut yang mempunyai 17,683 pengundi dan 12 
Julai sebagai tarikh penamaan calon.
Kekosongan DUN Kuala Besut berlaku berikutan kematian penyandangnya Dr. A. Rahman pada 26 Jun lalu akibat kanser paru-paru.
Tengku Zaihan, lulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam, 
Universiti Sains Malaysia (USM) berkata beliau akan berusaha membela 
nasib rakyat sekiranya dipilih sebagai wakil rakyat DUN itu nanti.
Anak veteran UMNO Kuala Besut itu dikatakan mempunyai ciri pemimpin 
berwibawa dan telah banyak memainkan peranan membantu masyarakat kawasan
 Kuala Besut ketika berkhidmat sebagai jurutera JPS Daerah Besut.
- BERNAMA
No comments:
Post a Comment