Pages

Friday, July 19, 2013

Pemuda UMNO kesal penceramah Pas buat fitnah dalam Ramadan

Persatuan Pemandu Teksi Kuala Besut memasang kain rentang tanda sokongan kepada calon BN, Tengku Zaihan Che Ku Abd. Rahman di hentian bas dan teksi Kuala Besut, Besut, Terengganu, semalam. 
*****
BESUT 18 Julai - Pergerakan Pemuda UMNO kesal dengan tindakan penceramah Pas yang tidak menghormati Ramadan apabila masih membuat pelbagai tuduhan dan fitnah terutama ke atas calon Barisan Nasional (BN), Tengku Zaihan Che Ku Abd. Rahman.
Exco Pemuda UMNO, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, pihaknya meminta kepemimpinan Pas supaya mengawal penceramah mereka agar tidak mencemarkan suasana dan perlulah memperlihatkan kematangan berpolitik dalam bulan yang mulia ini.
Beliau berkata, sewajarnya dalam bulan Ramadan kempen berlangsung dalam keadaan harmoni tanpa ada serangan atau kempen politik yang melampau batas.
"Sempena Ramadan, Pemuda BN berkempen dalam keadaan berhemah, kami hanya memperkenalkan calon, misi dan visi kepada rakyat supaya mereka dapat memilih yang betul.
"Namun saya agak kesal apabila ada maklumat yang kita terima ada penceramah Pas yang cuba bunuh karakter calon yang bertanding, menghentam dan mengkritik dalam keadaan yang melampau, jangan sampai amalan mereka sepanjang bulan mulia ini ditolak Allah," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyertai program Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) Prihatin di Kampung Lampur, di sini semalam.
Yang turut hadir, Pengerusi KPTM, Mohd. Azis Jamman.
Shohaimi yang juga Pengerusi Biro Ekonomi Pemuda UMNO berkata, beliau yakin calon yang dikemukakan BN akan menjadi pilihan pengundi di situ terutama golongan muda.
"Calon BN di Kuala Besut cukup bertenaga, orang muda, ada kelulusan dan juga anak ustaz, beliau adalah calon yang terbaik untuk menggantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang meninggal dunia.
"Pengundi muda di Kuala Besut tidak boleh melepaskan calon yang potensi ini untuk diketengahkan.
"Pada masa sama, kita penduduk membuat pilihan sendiri dan bukannya berdasarkan politik desakan, tohmahan dan ugutan yang dibawa oleh penceramah Pas," katanya.

http://ww2.utusan.com.my/utusan/special.asp?pr=PilihanRaya2013&pub=Utusan_Malaysia&furl&Pilihan_Raya/20130719/px_02/Pemuda-UMNO-kesal-penceramah-Pas-buat-fitnah-dalam-Ramadan | 20JUL

No comments: