Pages

Thursday, July 25, 2013

PRK Kuala Besut: SPR sifatkan peratusan keluar mengundi satu kejayaan

KUALA BESUT: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyifatkan peratusan keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut hari ini sebagai satu kejayaan walaupun jumlahnya berkurangan berbanding pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), 5 Mei lalu.

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, walaupun peratusan mengundi pada PRU13 lalu adalah 87 peratus, tetapi jumlah 80 peratus yang direkodkan pada hari ini mencapai sasaran awal yang ditetapkan pihaknya.

Faktor PRK yang diadakan pada hari bekerja juga perlu diambil kira sebagai penyebab penurunan jumlah peratusan keluar mengundi, katanya.

"PRK ini adalah kejayaan kerana ramai pengundi termasuk yang bekerja di Kuala Lumpur sanggup mengambil cuti dan pulang ke kampung untuk mengundi.

"PRK juga tidak boleh dibandingkan dengan PRU13 kerana sudah pasti bahangnya tidak sama kerana ia hanya melibatkan satu kawasan sahaja dan bukannya seluruh negara," katanya ketika ditemui di Dewan Majlis Daerah Besut di sini, malam tadi.

DUN Kuala Besut mempunyai 16,534 pengundi yang layak.

Pada PRK itu, calon Barisan Nasional (BN), Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman menewaskan calon PAS, Endot@Azlan Yusof dengan majoriti 2,592 undi.

PRK DUN Kuala Besut diadakan ekoran kematian penyandangnya Dr A Rahman Mokhtar pada 26 Jun lalu akibat kanser paru-paru. - BERNAMA

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/PRKKualaBesut_SPRsifatkanperatusankeluarmengundisatukejayaan/pilihanraya/kualabesut/Article/index_html

No comments: