Pages

Wednesday, July 10, 2013

Jangan ambil mudah PRK

Barisan kepemimpinan Barisan Nasional (BN) diketuai Muhyiddin Yassin (tiga dari kiri) mengangkat tangan Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman (tengah) yang diumum sebagai calon BN bagi Pilihan Raya Kecil DUN Kuala Besut di Dataran Kuala Besut, Terengganu, semalam. 
*****
KUALA BESUT 9 Julai - Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu seluruh kepemimpinan Barisan Nasional (BN) di semua peringkat tidak mengambil mudah Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut pada 24 Julai ini supaya kemenangan besar yang diperoleh pada Pilihan Raya Umum Ke-13 dapat dikekalkan.
Timbalan Perdana Menteri mengingatkan sejajar dengan sasaran majoriti lebih besar kali ini, mereka tidak harus mengandaikan pengundi yang telah memberi undi kepada BN akan keluar mengundi sekali lagi tanpa perlu didekati atau dirayu undi mereka.
Katanya, walaupun kawasan itu dianggap kubu UMNO, BN perlu bekerja kuat dan bersungguh-sungguh bagi memastikan calon parti menang dengan majoriti lebih besar pada 24 Julai ini.
"Jangan andaikan Kuala Besut kubu kuat BN, kalau pengundi tak keluar dan sokong kita, kita bimbang kalau itu berlaku, undi lebih rendah daripada majoriti pada pilihan raya lalu. Kita (BN) kena bersungguh-sungguh lagi agar majoriti undi nanti lebih besar berbanding pilihan raya lalu," katanya.
Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden BN berucap demikian pada program Pelancaran Jentera dan Penamaan Calon BN Pilihan Raya Kecil DUN Kuala Besut di Dataran Kuala Besut dekat sini hari ini.
Pada majlis itu, Muhyiddin mengumumkan bekas jurutera awam di Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman sebagai calon BN.
Yang turut hadir Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Ketua Biro Publisiti, Datuk Ahmad Maslan; Menteri Besar yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ahmad Said dan Timbalan Pengarah BN Pilihan Raya Kecil DUN Kuala Besut yang juga Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh; Ketua Wanita UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin dan Ketua Pemuda UMNO Terengganu, Saiful Bahri Baharudin.
Sehubungan itu, Muhyiddin yang juga Pengarah Pilihan Raya Kecil DUN Kuala Besut mengajak seluruh penduduk kawasan berkenaan agar keluar mengundi calon BN bagi membolehkan pembangunan fizikal dan sosial terus dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat.
Menurutnya, pilihan raya kecil itu mempunyai signifikan tersendiri di negeri ini dan kemenangan besar kelak akan menentukan BN kekal berkuasa dan tidak tergugat.

No comments: