Pages

Thursday, July 18, 2013

Pas diingat jangan tabur fitnah

Muhyiddin Yassin bersama Idris Jusoh menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim dan fakir miskin semasa majlis berbuka puasa di Masjid Teluk Bayu, Kuala Besut, Besut, malam tadi. 
*****
BESUT 16 Julai - Tan Sri Muhyiddin Yassin membidas sikap pemimpin Pas yang memfitnah dan menyerang peribadi calon Barisan Nasional (BN), Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman dalam siri kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut.
Timbalan Perdana Menteri berkata, pihak terbabit sepatutnya mengelak membuat kenyataan tidak betul bagi menghormati kemuliaan Ramadan termasuk fitnah kononnya Tengku Zaihan bukan anak tempatan.
"Sambutan daripada rakyat terhadap calon kita amat baik. Saya hairan bagaimana isu ini keluar sedangkan calon kita lahir di sini, bapa beliau masih di sini, seorang ustaz yang masih lagi sihat.
"Sewajarnya dalam bulan Ramadan ini kita mengelak membuat kenyataan tidak betul, tohmahan dan fitnah. Harapan saya proses PRK ini akan berjalan dengan berhemah, berwibawa dan tanpa ada serangan peribadi," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Majlis Pecah Tanah Sekolah Menengah Kebangsaan Alor Peroi, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dan Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh.
Pembangkang sebelum ini mendakwa Tengku Zaihan bukan anak tempatan dan tidak dikenali penduduk tempatan.
Sementara itu, Muhyiddin berkata, pendedahan menerusi klip video di YouTube membuktikan calon Pas, Endot @ Azlan Yusof lebih berminat berniaga berbanding menjadi wakil rakyat.
Katanya, Pas juga terpaksa menghalang calon daripada membuat kenyataan media kerana bimbang kesilapan yang dilakukan calon mereka berulang.
"Mungkin mereka takut jika calon mereka bertemu media akan tersalah cakap. Saya lihat video itu, dia membuat kenyataan jika menang, dia sibuk menguruskan perniagaan dan perkara ini telah terdedah kepada umum," katanya.

http://ww2.utusan.com.my/utusan/special.asp?pr=PilihanRaya2013&pub=Utusan_Malaysia&furl&Pilihan_Raya/20130717/px_01/Pas-diingat-jangan-tabur-fitnah 

No comments: