Pages

Monday, July 22, 2013

PRK Kuala Besut: Pembangunan bukan atas desakan pembangkang

JERTIH: Segala limpahan projek pembangunan di Besut yang diumumkan Kerajaan Pusat untuk dilaksanakan di kawasan itu adalah bukan atas desakan pembangkang, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, sebaliknya, projek pembangunan seperti pemecah ombak di muara Sungai Besut dan Empangan Nangka yang diumumkan baru-baru ini sudah dirancang begitu lama untuk keperluan rakyat.
"Saya ingin maklumkan segala perancangan kerajaan tak ada kena mengena dengan pembangkang atau desakan pembangkang.

"Tanpa desakan pembangkang pun, kita masih buat demi kepentingan rakyat," katanya pada sidang media selepas lawatan kerja ke Pasar Tani Kuala Besut, di sini, sebentar tadi. Hadir sama Pengerusi FAMA, Tan Sri Badruddin Amiruldin.

Ismail Sabri diminta mengulas kononnya segala projek pembangunan di Kuala Besut adalah atas desakan pembangkang.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bera berkata, memang dari segi pelaksanaan projek-projek terbabit akan mengambil masa termasuk kelulusan.

Katanya, lakaran projek bukan boleh siap dalam dua minggu dan kajian perlu disiapkan dalam masa bertahun-tahun.
"Bukan boleh buat pemecah ombak dalam masa seminggu, pilihan raya diumumkan minggu lepas, sedangkan pelan dan kajian dah lama seperti berapa panjang pemecah ombak.

"Agaknya pembangkang ingat buat pemecah ombak macam nak batas padi di sawah, buat sesuka hati dalam seminggu. Pembangkang tak boleh merancang, dia ingat semua senang jadi sebab itu kita buat, dia pun kata boleh buat bila dia sebut.

"Kita ada forum yang begitu banyak dengan petani dan persatuan peladang membangkitkan isu ini. Kita sediakan perancangan pelan dah lama dirancang, jadi tak timbul pembangkang kata kerana pilihan raya dah dekat dan bangkit isu, maka kita tergesa-gesa untuk luluskannya," katanya.

Selain itu, beliau berkata, peluang Barisan Nasional (BN) untuk mencapai kemenangan pada pilihan raya kecil (PRK) Kuala Besut adalah besar dan cerah kerana pengundi di sini memahami kemenangan pembangkang tidak akan memberi makna.

"Lebih baik beri kemenangan kepada BN dan beri kestabilan kepada kerajaan negeri. Kita nak kekalkan kerajaan BN di Terengganu supaya projek pembangunan yang diumumkan dapat dilaksanakan," katanya.

Sementara itu, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan mewujudkan pasar borong tani bagi membolehkan petani dan peladang mengumpulkan dan memasarkan hasil tani mereka.

"Pasar borong sedia ada tidak membabitkan petani dan produk bukan daripada hasil orang kampung dan petani kecil," katanya.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/PRKKualaBesut_Pembangunanbukanatasdesakanpembangkang/pilihanraya/kualabesut/Article/index_html

No comments: